Advertisements

Tag: media

50 Kejayaan Pakatan Harapan

Peruntukan dana sebanyak RM1 bilion menerusi dasar perumahan untuk kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) membeli rumah antara pencapaian kerajaan di bawah kepemimpinan Pakatan Harapan (PH).

Ia antara 50 pencapaian sejak kerajaan mengambil alih tampuk pentadbiran negara selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) setahun lalu yang ditonjolkan dalam klip video berdurasi lima minit.

Klip video khas bertajuk ’50 Pencapaian Kerajaan Pakatan Harapan Dalam Masa Setahun’ itu mengetengahkan pencapaian, prestasi dan kejayaan kerajaan secara ringkas.

Antaranya, peruntukan RM3 bilion untuk melaksanakan tujuh projek di Kedah antaranya pembinaan Lapangan Terbang Kulim, lebuh raya koridor utara, Taman Perindustrian Petrokimia, hub Taman Industri Pembuatan dan Logistik dan perpustakaan digital.

Kerajaan juga tidak mengetepikan pembangunan kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang apabila menyediakan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion untuk Kelantan bagi melaksanakan lima projek iaitu menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail, menyiapkan Central Spine Road, jajaran baharu jalan raya Pasir Puteh, Machang, Jeli, Lebuhraya Rakyat 3 dan projek jambatan Palekbang yang terbengkalai sejak 23 tahun lalu.

Turut ditonjolkan pelaksanaan program i-suri, rebat bil elektrik RM40 setiap bulan bagi keluarga miskin dan miskin tegar berdaftar dan disahkan dalam sistem e-Kasih.

Kerajaan juga menetapkan harga siling RON95 pada harga RM2.08 seliter, ini bermakna jika harga pasaran melebihi harga siling, kerajaan akan mensubsidikannya.

Bayaran bantuan awal persekolahan RM100 bagi setiap murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 bagi keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan juga antara yang dilaksanakan di bawah pentadbiran PH.

Selain itu, kerajaan menetapkan semula harga minimum getah sekerap pada kadar RM2.50 sekilogram berbanding sebelumnya RM2.20.

Turut dibantu, pekebun kecil RISDA yang menerima bantuan musim tengkujuh sebanyak RM600 dan dibayar dua kali pada Disember dan Januari lalu.

Advertisements