Advertisements

Pengusaha bas sekolah kecewa, pendapatan mereka terjejas teruk di DUN Sungai Rambai dan Merlimau kini.

Sep 30, 2019 Blog

Pengusaha bas sekolah kecewa, pendapatan mereka terjejas teruk di DUN Sungai Rambai dan Merlimau kini.

Semakin ramai murid sekolah tidak berkemampuan menggunakan khidmat bas sekolah di Sri Mendapat, Merlimau

Seri Mendapat 30 Sep 2019 -Perniagaan bas sekolah di luar bandar kini menghadapi masalah kerana jumlah pelajar yang menggunakan khidmat bas sekolah kini semakin berkurangan kerana kurang berkemampuan membayar, manakala pengusaha bas pula ada yang terpaksa gulung tikar.

Menurut Ahmad bin Bidin, Yang sebelumnya mengendali 7 buah bas, tetapi kini hanya mampu beroperasi dengan 3 buah bas sekolah sahaja. Beliau yang berpengalaman sebagai usahawan pengendali bas sekolah lebih 25 tahun itu berpendapat, kemajuan urusniaga ini dilihat kurang menarik kerana kos operasi kini semakin tinggi berbanding tahun-tahun yang lalu.

Kebanyakan pengusaha hanya menggunakan bas yang agak uzur berusia lebih 20 tahun. Keadaan menjadi bertambah sukar apabila harga sesebuah bas kini sangat mahal iaitu hanya boleh dibeli pada harga sekitar RM120 ribu sebuah; itupun nilai harga pagi bas yang berusia 10 tahun. Pinjaman melalui sistem finance sudah tidak layar kerana pihak bank tidak lagi memberikan pinjaman, kalau pun ada pengendali dan pengusaha terpaksa menggunakan sistem kredit sahaja dengan bayaran balik yang lebih mahal.

Fenomena ini mengakibatkan kualiti perkhidmatan semakin merosot dan tidak menarik minat pengguna menggunakan khidmat bas sekolah lagi. Keadaan jauh berbeza menurut Ahmad jika dibandingkan dengan situasi kerajaan terdahulu kerana pendapatan penduduk luar bandar yang semakin mencabar seperti terjadi di Sungai Rambai dan lebih buruk lagi di kawasan pendalaman seperti di Kampung Felcra Seri Mendapat Merlimau.

“Bas sekolah saya sendiri kini kadangkala hanya dinaiki oleh beberapa orang murid sahaja untuk menghantar anak-anak peneroka itu dari Felcra Sri Mendapat ke Sekolah SDARY dan Dang Anum. Ibu bapa menyifatkan harga bayaran antara 80 hingga satu ratus sebulan oleh seorang murid kepada beliau pun tidak mampu dibayar oleh ibu bapa mengikut jadual masa yang ditetapkan, kadangkala sehingga tertangguh bayarannya lebih dari sebulan” ujar Ahmad dengan nada kesal.

“Semasa lawatan kerja Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka Adly Zahari ke Sungai Rambai beberapa bulan yang lepas bersama Penyelaras DUN Sungai Rambai, Azlina Abdul Rahman dan MPKK di DUN kami, masalah ini telah disuarakan tetapi sehingga kini tiada tindakan positif oleh pihak pengurusan jabatan Ketua Menteri Melaka atau Penyelaras DUN untuk menangani dan menyelesaikan masalah mereka”, menurut Haji Mutalib Che Man, Timbalan Ketua Cawangan Bersatu Sungai Rambai, yang cuba menjelaskan masalah pengusaha bas bas sekolah di sekitar Sungai Rambai dan Merlimau itu.

Ini menyebabkan usahawan yang berkecimpung dalam bidang perniagaan bas sekolah itu tidak beroperasi lagi dan sehingga ada juga yang bas mereka tersadai, tidak dapat menjalankan dan meneruskan urusniaga mereka kerana dihimpit kekangan kos operasi bas sekolah yang dikatakan terus meningkat kebelakangan ini.

Sebaiknya pihak kerajaan PH Negeri Melaka berusaha membantu serta memikirkan bentuk bantuan subsidi lain selain subsidi diesel 29 sen itu sama seperti yang dilakukan di negeri negeri yang maju lain seperti di Selangor.

Pengendali bas sekolah di bandar-bandar tidak bolehlah disamakan dengan perniagaan di desa dan di kampung-kampung seperti di Sungai Rambai atau di Felcra Sri Mendapat, ini kerana status pendapatan keluarga yang tinggal di bandar jauh lebih tinggi dari pendapatan petani dan pengusaha kampung di luar bandar ini.

Masalah yang terus berlarutan sehinggalah kini tanpa pembelaan atau bantuan yang lebih adil dari pihak kerajaan Melaka, seperti memberikan subsidi setiap anak-anak yang pergi ke sekolah dengan menampung sebahagian dari bayaran yang dicas oleh pengendali bas sekolah itu sangat merunsingkan pengusaha bas dan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka sendiri ke sekolah.

Menurut Encik Usop (bukan nama sebenar) yang tidak mahu namanya dikenali, merayu pihak kerajaan mengambil inisiatif seperti yang dilakukan terhadap pengangkutan awam Panorama di Melaka yang telah memberikan perkhidmatan percuma kepada penumpangnya. Usaha kerajaan Pakatan Harapan terhadap bas panorama dikatakan sangat baik dan sangat menepati keperluan rakyat di Melaka.

Bantuan Kerajaan Negeri atau kementerian akan dilihat sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dengan masalah rakyat dengan membantu keluarga di luar bandar serta memberi kemudahan kepada ibu bapa agar lebih fokus untuk menjalankan aktiviti harian mereka tanpa diganggu untuk kerja- kerja untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah; akibat ketiadaan bas sekolah seperti yang terjadi di DUN Sungai Rambai iaitu khususnya di Felcra Seri Mendapat.

Selain itu menurut Ahmad juga, subsidi bahan api diesel yang diberikan kini kurang memberi impak, beliau menyarankan agar bayaran oleh ibu bapa secara subsidi paling minimum pun separuh dari kos yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa ialah sekitar 80 hingga 100 untuk seorang anak mereka sebulan, bantuan sara hidup tambang bas sekolah separuh daripada bayaran ketika ini, jika diterima oleh kerajaan Melaka boleh menjanjikan operasi bagi bas-bas yang menghantar anak-anak ke sekolah itu berjalan seperti sebelumnya.

Antara isu utama yang lain mengapa pendapatan kepada usahawan bas sekolah ini menjadi bermasalah dan terjejas, menurut Muttalib bin Cheman pula ialah tentang warna bas sekolah itu sendiri. Sekiranya warna bas ini dikaji semula agar setanding dengan bas bas persiaran yang lain, (bukan warna kuning), yang tidak digemari oleh penyewa bas yang bercadang melancong dihujung minggu atau cuti sekolah; maka tentulah pengusaha bas sekolah mendapat pendapatan tambahan daripada hasil sewaan khas dengan membawa pelancong yang melancong ke pelbagai destinasi semasa cuti juga.

Ketika ini juga kurang event dari mana-mana pertubuhan yang menyewa bas sekolah untuk ke Kuala Lumpur, ianya memburukkan lagi kepada jumlah pendapatan yang boleh diperolehi oleh usahawan bas sekolah ini.

Dalam usaha mewujudkan dasar dasar baru seperti dasar Pembangunan Usahawan, bukan hanya setakat memfokuskan kepada projek-projek baru untuk menjana pendapatan kepada rakyat dalam bidang keusahawanan baru, tetapi perlulah juga meninjau bidang-bidang lama yang telah dilakukan oleh perniagaan lain termasuk dalam bidang perkhidmatan menghantar anak-anak ke sekolah ketika ini.

Sekiranya masalah ini dapat diatasi oleh Kementerian atau kerajaan negeri maka masalah kenderaan pengangkutan yang menghantar murid-murid ke sekolah secara haram menggunakan bas bas atau kenderaan yang tidak mendapat kelulusan oleh pihak berwajib boleh ditangani dan diatasi.

Penyelaras DUN Sungai Rambai haruslah mengambil insiatif membincangkan perkara ini dengan pihak kementerian atau jabatan serta kerajaan Melaka agar dilihat kerajaan Pakatan Harapan berjiwa rakyat dan sensitif menangani masalah masalah yang dihadapi selama ini oleh penduduk DUN Sungai Rambai.

Perkhidmatan ini penting dikaji semula khususnya di Felcra Seri Mendapat

Beberapa agensi kerajaan haruslah membincangkan isu rakyat ini seperti SPAD, JPJ, Jabatan Pelajaran bersama Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab. Koperasi juga mungkin boleh dibentuk untuk membantu melancarkan urusniaga bas sekolah ini jika pihak pengendali bas sekolah menghadapi masalah pusingan modal bagi melancarkan dan mempercekapkan perkhidmatan menghantar anak-anak ke sekolah menggunakan bas sekolah yang masalahnya terus berlarutan sehingga kini.

Membincangkan masalah pengendalian dan perkhidmatan bas sekolah luar bandar
Advertisements
bersatumelaka

Bybersatumelaka

Antara penggerak awal di Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: